KENYAH

Lepo' Tau Dayak
Sarawak (Borneo)
Malaysia

Forums {Keja'e}

Post Reply
Forum Home > General Discussion (Kejae) > Long Moh Tarik minat Universiti Pertanian Malaysia

Kenyah Lepo Tau, Sarawak (Borneo)
Site Owner
Posts: 22

HULU BARAM 1 Dis. – Long Moh, salah sebuah perkampungan kaum Kenyah yang terletak jauh di pedalaman, berhampiran sempadan Sarawak dan Kalimantan Timur, Indonesia.

 

Ia telah menarik perhatian universiti tempatan untuk mengkaji kepelbagaian biologi dan potensi ekopelancongan di situ.

 

Baru-baru ini, 12 ahli akademik yang terdiri daripada pensyarah, tutor dan kakitangan makmal Universiti Putra Malaysia (UPM), Bintulu telah berkampung lima hari di situ bagi melaksanakan kajian dan program jangkauan.

 

Kumpulan tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Makanan dan Pertanian UPM Bintulu, Zamri Rosli.

 

Menurut Zamri, misi utama program itu ialah untuk mengenal pasti spesies pokok yang berupaya menghasilkan benih dan anak pokok yang baik serta boleh digunakan untuk program perhutanan semula.

 

Selain itu, kata beliau, ia juga bertujuan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan penyelidikan.

 

“Ini merupakan program menang-menang yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

 

“Pihak UPM akan membeli benih daripada komuniti Long Moh, melatih dan mendidik mereka mengenai pengurusan hutan secara mapan dan teratur, manakala mereka pula membantu kita mengenal pasti kawasan hutan yang sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

 

Beliau menjelaskan, berbanding kawasan hutan lain di Hulu Baram, Long Moh mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan perlindungan hidupan liar kerana kepelbagaian biologi yang masih tersimpan di hutan itu.

 

Katanya, walaupun terdapat aktiviti pembalakan di kawasan sekitar, namun hutan Long Moh mempunyai keunikan biologi yang tidak dapat ditemui di kawasan lain.

 

“Kawasan jauh terpencil ini menyebabkan hutannya terlindung secara semula jadi.

 

“Apa yang penting sekarang, UPM dapat mendidik komuniti tempatan untuk memelihara dan melindungi hutan mereka,” katanya.

 

Ujarnya, sistem ekologi di Sungai Moh juga masih bersih dan bebas daripada pencemaran dan ia merupakan faktor penting untuk menyokong kelangsungan hidupan liar dan tumbuhan.

 

Justeru, katanya, UPM akan meneruskan kerjasama dengan komuniti Long Moh selain mempelawa fakulti lain membuat penyelidikan khususnya dalam aspek sosioekonomi.

 

Sementara itu, Pengarah Projek merangkap Pensyarah di Jabatan Sains Perhutanan UPM, Geoffery James Gerusu berkata, Long Moh merupakan projek pertama seumpamanya yang dilaksanakan oleh UPM.

 

“Long Moh mempunyai kawasan hutan yang luas dan masih asli dengan kebanyakan spesies pokok yang kita temui di sini sudah pupus di tempat lain kerana aktiviti penebangan dan pembalakan.

 

“Justeru, kita gembira kerana berjaya menemui beberapa spesies berkenaan, antaranya pokok Selangan Batu atau nama saintifiknya Shorea Superba,” katanya.

 

Beliau berkata, selain untuk tujuan penyelidikan, kawasan Long Moh memainkan peranan penting sebagai tadahan air selain kawasan genetik yang tinggi kepada kepelbagaian hidupan flora dan fauna.

 

Di samping itu, katanya, Long Moh yang masih mengekalkan keindahan alam semula jadi dan masyarakat yang kaya dengan budaya tradisional mampu dijadikan sebagai satu destinasi pelancongan yang menarik.

 

“Sepanjang lima hari program tersebut, kita mengadakan ceramah mengenai pentingnya hutan dan hidupan liar kepada masyarakat, pendidikan untuk melindungi dan memulihara hutan dan tanggungjawab sosial UPM dalam pemuliharaan hutan.

 

“Selain itu, kita juga menunjuk ajar mereka cara mengambil benih dan anak benih daripada ibu pokok sehingga ke peringkat menanam benih tersebut di dalam polybag,” katanya.

 

Geoffery menambah, pihaknya bercadang untuk membuat kertas cadangan bagi memohon peruntukan agar projek tersebut dapat dilanjutkan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pakar perhutanan yang turut serta dalam program itu, Dr. Seca Gandseca berkata, semakin sukar untuk menemui hutan dicterocarp seperti di Long Moh yang tidak dibalak selain kawasan Taman Negara.

 

Katanya, ia pasti dapat membantu usaha beberapa syarikat pembalakan yang sebelum ini telah berbincang dengan pihak UPM untuk mendapatkan benih bagi projek perhutanan semula.

 

“Beberapa tahun lalu, UPM menjadi pembekal anak benih untuk program perhutanan semula dengan kerjasama syarikat Jepun, Mitsubishi Corporation berhampiran Bintulu seperti Ulu Sebauh, Segan, Samarakan dan Tatau.”

 

“Namun, sukar untuk menemui ‘ibu kayu’ yang dapat mengeluarkan benih atau anak pokok yang sihat kerana kebanyakan sudah ditebang,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Kaum Long Moh, Bilong Tingan berkata, penduduk kampung menyambut baik program tersebut dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

“Hutan umpama pasar raya bagi kami di sini dan kami amat berterima kasih dengan pihak UPM dalam mengadakan program kesedaran untuk melindungi dan memulihara hutan di Long Moh,” katanya

 

 


ZAMRI Rosli (duduk dua dari kiri) dan Geoffery James Gerusu (kiri) bersama kumpulan akademik dari UPM, Bintulu dan komuniti Long Moh di Hulu Baram, Sarawak, baru-baru ini.

 


Oleh RACHEL NINA

[email protected]

 

 


December 2, 2011 at 2:12 AM Flag Quote & Reply

You must login to post.